suria

Suspek Tikam Teman Rapat Direman Seminggu

ALOR SETAR: Polis hari ini mendapatkan perintah tahanan reman selama seminggu terhadap seorang suspek wanita berusia 33 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh Suhana Mohd Sharif, 26, yang ditikam sehingga mati di Taman Kristal, Mergong di sini, 4 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Abdul Ghafar Rajab berkata Pendaftar Mahkamah Majistret 1 Alor Setar, Rashidah Azmi membenarkan suspek direman sehingga 20 Mac ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.

Suspek yang sebelum ini cedera parah dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), ditahan kira-kira pukul 1.30 petang semalam sejurus selepas dibenarkan keluar dari hospital berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam 4 Mac lalu, Suhana ditikam tujuh kali sebelum disahkan meninggal dunia di HSB pada pukul 11.35 malam hari yang sama, manakala suspek bertindak menikam diri serta mengelar pergelangan tangannya.

Kedua-dua wanita yang juga rakan sekerja di sebuah kedai alat tulis di sini, dipercayai berselisih faham sebelum berlaku pertengkaran besar di antara mereka. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain