suria

Penjaja Tepi Jalan Di Lembah Pantai Akan Dipindahkan

KUALA LUMPUR: Seramai 124 penjaja tepi jalan di sekitar kawasan Lembah Pantai di sini akan dipindahkan ke penempatan baru yang terletak berhampiran pada tahun ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

"Kita telah bagi notis kepada mereka cuma hanya nak selesaikan penempatan dan mereka akan pindah berdekatan, kita sedang berusaha dengan pihak swasta untuk majukan penempatan (tapak perniagaan baru) itu," katanya.

Beliau berkata masalah kesesakan lalulintas di kawasan Lembah Pantai mampu dikurangkan apabila penjaja terlibat dipindahkan ke tapak perniagaan baru yang lebih selesa.

Raja Nong Chik, yang juga Ketua Umno bahagian Lembah Pantai, berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai perarakan Maulidur Rasul anjuran Umno Lembah Pantai di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Umno bahagian itu akan menubuhkan Majlis Permuafakatan Masjid dan Surau Lembah Pantai bagi mengukuhkan hubungan dan interaksi antara pihak pengurusan masjid dan surau di kawasan tersebut.

Majlis itu akan ditubuhkan dalam masa terdekat selepas berbincang dengan pihak pengurusan tujuh buah masjid dan 23 buah surau di kawasan berkenaan diadakan.

"Banyak masalah-masalah soal masjid dan surau di peringkat mikro dan akar umbi tidak sampai ke peringkat atasan, itu yang kadang-kadang wujud masalah perbalahan, perbezaan pendapat dan kadang-kadang masjid disalahgunakan," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain