suria

Bapa K. Haresvarran Buat Laporan Polis Terhadap Ahli Parlimen Kapar

PETALING JAYA: S. Karigalan, bapa kepada K. Haresvarran kanak-kanak berusia 18 bulan yang mati akibat didera Rabu lepas, hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen (MP) Kapar S.Manikavasagam selepas mendakwa beliau dan isterinya difitnah.

Karigalan membuat laporan polis itu di Balai Polis Damansara di sini pukul 2.30 petang ini berhubung memorandum yang dihantar Manikavasagam kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan semalam.

"Saya kesal dengan sikap MP Kapar kerana mempolitikkan kes ini serta mencampuri siasatan polis dan mahkamah. Sebagai MP dia perlu menjaga kawasan dia bukan menggangu siasatan kes ini," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata Manikavasagam hanya mendengar sebelah pihak sahaja dan mencari publisiti murahan dengan menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara tanpa menyelidik terlebih dahulu kejadian sebenar.

Beliau yang juga Pengerusi MIC Seksyen 19 Petaling Jaya Utara berkata sekiranya Manikavasagam atau mana-mana pihak ketiga meneruskan fitnah itu, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Karigalan juga mendakwa 16 laporan polis yang dibuat semalam bukan dibuat oleh jirannya, tetapi dibuat oleh ahli keluarga suspek dengan niat untuk membela suspek dan memfitnah beliau.

Satu daripada 16 laporan polis yang dibuat semalam mendakwa isteri Karigalan, K. Thilagavathy pernah menghayun kanak-kanak itu di luar rumah dengan niat untuk menjatuhkannya dari pangsapuri tempat tinggalnya pada Mac tahun lepas.

"Kalau ada sesiapa nampak saya atau isteri saya ada menyeksa atau mendera anak saya itu pada 3 Mac lepas, saya minta mereka tampil membuat laporan polis dan jika dakwaan itu benar dengan bukti yang kukuh, saya rela dijatuhi hukuman di mahkamah," katanya.

K. Haresvarran disahkan meninggal dunia pada pukul 12 tengah malam, Khamis lepas akibat retak tulang rusuk selain hatinya pecah serta terdapat banyak kesan lebam pada badan mangsa dipercayai akibat didera oleh suami bekas penjaganya seorang kelindan lori yang berusia 33 tahun di sebuah taman di Pangsapuri Seri Ara, Damansara di sini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi berkata suspek dan isterinya disambung reman selama lima hari lagi sehingga 15 Mac depan untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain