suria

Polis Tembak Mati Geng United Sawit Di Jempol

JEMPOL: Tiga lelaki anggota geng "Sawit United" mati ditembak polis selepas cuba menyerang anggota keselamatan yang mengepung mereka di kawasan tangki air, Felda Serting Hilir, Bahau, malam semalam.

Pelbagai jenis senjata tajam seperti sabit, pisau, pemotong besi dan pemutar skru ditemui berhampiran mayat ketiga-tiga lelaki itu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, sekumpulan 20 anggota polis yang menjalankan operasi khas memburu anggota kumpulan itu, terserempak dengan tiga lelaki yang menunggang tiga motosikal.

Sebuah daripada motosikal itu yang menggunakan plat pendaftaran Perak dilapor dicuri di Bahau, manakala dua lagi menggunakan plat Johor dan Negeri Sembilan, katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata polis mengekori ketiga-tiga lelaki itu sehingga ke kawasan tangki air dan mengambil tindakan mengepung mereka, dan panik akibat terkepung, ketiga-tiga lelaki itu menyerang polis dengan senjata tajam.

"Kami percaya kemungkinan geng itu menyimpan senjata api berikutan terdapat tiga peluru 9mm pada mayat seorang daripada anggota kumpulan itu," katanya.

Beliau berkata hasil risikan polis mendapati kumpulan itu bergerak aktif sejak setahun lepas dan terlibat dalam 13 hingga 20 kes samun di Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Pahang. Mereka juga dilapor turut merogol mangsa samun.

Osman berkata kesemua lelaki yang ditembak mati itu berusia di bawah 35 tahun.

Bagaimanapun tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat ketiga-tiga mereka, katanya.

"Kami percaya masih ada tiga atau empat orang lagi anggota kumpulan itu. Ketua mereka mungkin sudah mati malam tadi, kumpulan ini biasanya akan berkumpul di kawasan ladang sawit sebelum bergerak untuk melakukan jenayah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain