suria

Pacuan Empat Roda Langgar Treler, Dua Maut

KUANTAN: Dua rakan maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka melanggar sebuah lori treler bermuatan jerami padi di Km 135 Jalan Kuantan-Seremban dekat Rompin, semalam.

Yap Hok Hing, 20, dan rakannya Sahri Ishar, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala pemandu kereta Yap Bun Beng, 20-an mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Negeri Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5 pagi semasa kesemua mereka dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Rompin.

"Kejadian berlaku apabila pemandu pacuan empat roda itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya, menyebabkan ia terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar belakang sebuah lori treler di hadapannya," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata Yap dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan manakala dua rakannya itu turut dihantar ke hospital yang sama untuk dibedah siasat.

Mohamed Fauzi berkata pemandu treler itu yang berumur sekitar 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Ashura Ahmad dengan menelefon 09-4145222 bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain