suria

Lelaki Sydney Hadapi Tuduhan Bunuh Pemandu Pejabat Konsul Malaysia

MELBOURNE: Seorang lelaki warga Sydney berusia 55 tahun menghadapi pertuduhan memukul hingga mati pemandu di pejabat Konsul Malaysia, Mohd Shah Saemin, di Leichardt, pinggir bandar Sydney, Ahad lepas.

Polis berkata lelaki itu ditahan malam tadi oleh detektif dari Skuad Homisid dan polis Leichhardt di sebuah rumah di Brighton Street, Croydon.

Dia dituduh membunuh Mohd Shah, 43, dan tidak dibenarkan ikat jamin sebelum kes itu disebut di Mahkamah Tempatan Burwood lewat hari ini.

Siasatan kes pembunuhan itu masih diteruskan, menurut laporan Sydney Morning Herald.

Mohd Shah dikatakan diserang dengan tukul besi dan ditikam oleh dua lelaki di luar unit kediamannya di Marion Street, Leichhardt, kira-kira tengah malam Ahad.

Seorang wanita yang mendakwa menyaksikan serangan itu dan cuba meleraikannya, menjadi pujian kerana usahanya itu.

Berasal dari Melaka, Mohd Shah yang tinggal di Australia sejak beberapa tahun lepas, kini menjadi warga Australia dan bekerja sebagai pemandu di pejabat Konsul Malaysia di Sydney.

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra Ahmad Fadil Shamsuddin berkata mayat Mohd Shah akan tiba di Kuala Lumpur sama ada pada Khamis atau Jumaat.

Polis meminta sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menghubungi balai polis berhampiran atau unit Pembanteras Jenayah di talian 1800 333 000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain