suria

Pertandingan Tulis Surat Pada PM Dilanjut Hingga 19 Mac

PUTRAJAYA: Pertandingan Menulis Surat kepada Perdana Menteri yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan kepada 19 Mac bagi memberi lebih banyak peluang kepada orang ramai yang ingin menyertainya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Berhad, Datuk Syed Faisal Albar berkata, banyak rayuan dikemukakan oleh sekolah-sekolah di seluruh negara yang meminta supaya tarikh tutup pertandingan itu dilanjutkan.

"Kami masih dapat maklum balas yang menyatakan banyak lagi surat-surat yang belum diserahkan kepada Pos Malaysia, jadi dengan rayuan-rayuan begini eloklah untuk kami lanjutkan tarikh tutup pertandingan.

"Mungkin maklumat mengenainya lambat disampaikan di sekolah-sekolah, sebab itulah pada saat akhir masih ada banyak permintaan untuk menghantar surat-surat ini," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan surat buat Perdana Menteri kepada Pos Malaysia oleh sekolah-sekolah di sekitar Putrajaya, di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8, di sini hari ini.

Hampir 2,000 surat penyertaan daripada 20 sekolah menengah dan rendah di sekitar Putrajaya diserahkan kepada Pos Malaysia Berhad yang diwakili Pengerusinya, Tan Sri Aseh Che Mat pada majlis itu.

Syed Faisal yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Pos Malaysia Berhad berkata, pemenang pertandingan itu dijangka akan diketahui April nanti, dengan keputusan dibuat oleh panel juri seramai 10 orang yang terdiri daripada wakil Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran dan Pos Malaysia Berhad sendiri.

Beliau berkata, sehingga hari ini sambutan penyertaan amat menggalakkan dan membanggakan, di mana hampir 30,000 penyertaan diterima dari sekolah-sekolah di seluruh negara, termasuk sekolah luar bandar.

Pertandingan yang dilancarkan pada 29 Disember tahun lalu itu dianjurkan bersama Pos Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelajaran.

Ia dilancarkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 29 Disember lepas dan terbuka kepada pelajar sekolah menengah dan rendah di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Lain