suria

Pegawai JKM Diarah Bersedia 24 Jam Tangani Kes Buang Bayi

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengarahkan semua pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia 24 jam untuk memberikan bantuan dalam usaha menangani kes pembuangan bayi yang berleluasa akhir-akhir ini.

"Saya telah meminta para pegawai JKM bersedia 24 jam walaupun ketika pejabat tidak beroperasi bagi membantu mereka yang bermasalah supaya tidak mengambil jalan singkat membuang bayi kerana takut malu atau menerima hukuman," katanya.

Shahrizat berkata, oleh kerana masyarakat tidak datang kepada JKM (untuk meminta bantuan), para pegawai JKM perlu mengambil langkah dengan mengenal pasti mereka yang menghadapi masalah di daerah masing-masing.

"Saya percaya ibu bapa ini mungkin takut atau malu kerana mempunyai anak luar nikah dan perasaan itu sebenarnya mendorong mereka melakukan jenayah yang lebih besar," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA di Wisma MCA di sini hari ini.

Shahrizat mengulas kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa akhir-akhir ini dengan kes terbaru semalam apabila mayat seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui terbakar di dalam sebuah tong sampah di Kuala Krai, Kelantan.

Pada Rabu lepas, kes buang bayi turut dilaporkan di Kampung Permatang Duyong, Melaka manakala sehari sebelum itu, satu kes turut berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang manakala satu lagi kes dilaporkan berlaku di Kedah, Isnin lalu.

Menurut beliau, pihak kementerian menganggap buang bayi sebagai satu simptom atau simbol kepada masalah sosial yang lebih besar yang akan melanda negara ini jika tidak ditangani dengan lebih serius.

Ditanya tentang kewajaran penubuhan rumah khas untuk wanita yang mengandungkan anak luar nikah, Shahrizat berkata penubuhan rumah sedemikian adalah demi menyelamatkan bayi yang tidak berdosa.

Di samping itu katanya, golongan ibu bapa jangan hanya menyalahkan kaum wanita apabila berlaku kes pembuangan bayi dan pembunuhan bayi seperti ini.

"Di mana ayah kepada bayi ini, itu sebabnya Tuhan bagi ada ibu dan ada bapa, kedua-duanya mesti menangani masalah yang dihadapi bukan sahaja menyalahkan wanita," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain