suria

Tiga Buah Kedai Rentung, Kerugian Lebih RM400,000

IPOH: Sederet tiga buah kedai musnah dalam kebakaran membabitkan kerugian dianggarkan lebih RM400,000 di pekan Tapah, 65km dari sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Roslan Bek Ahmad berkata, kebakaran berlaku kira kira 9.16 malam tadi membabitkan kedai runcit, restoran dan kedai menjual burung dan ikan peliharaan.

Tiada kecederaan dilaporkan kerana semua pemilik kedai tidak tinggal di premis berkenaan, katanya ketika dihubungi hari ini.

Roslan Bek berkata, siasatan awal polis mendapati kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas bagaimanapun polis masih menyiasat punca sebenar kejadian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Tapah berkata, sebuah jentera dan lima anggota bomba daerah itu berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran daripada merebak ke kedai-kedai lain dalam tempoh 35 minit. - BERNAMA

Artikel Lain