Polis Tumpas Sindiket Klon Kad Diesel Rapid Penang - Semasa | mStar

Polis Tumpas Sindiket Klon Kad Diesel Rapid Penang

PULAU PINANG: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengklonan kad diesel subsidi sebuah syarikat pengangkutan awam, Rapid Penang Sdn Bhd, selepas menahan tiga lelaki di sebuah stesen minyak di Mergong, Kedah, Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri, ACP Roslee Chik, berkata suspek berusia antara 30 dan 40 tahun itu ditahan pada pukul 11.30 malam ketika sibuk menjalankan operasi mengklonkan kad diesel milik syarikat itu.

"Dalam tempoh antara Julai hingga Oktober lepas, Rapid Penang kerugian RM900,000 akibat kegiatan sindiket itu yang memalsukan kad diesel subsidi miliknya untuk kegunaan sendiri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya dalam serbuan itu, polis turut merampas 32 kad minyak milik pelbagai jenis pengusaha minyak diesel, mesin pengesan data, komputer riba dan alat pengimbas kad.

"Kita percaya sindiket ini mendapat bantuan pekerja di stesen minyak di sekitar negeri ini yang membekalkan diesel subsidi kepada Rapid Penang bagi menjayakan taktir kotor mereka itu," katanya.

Diesel dijual dengan harga RM2.58 sen seliter manakala pemilik kad layak mendapatkan bekalan diesel bersubsidi dengan harga RM1.43 seliter.

Roslee berkata hasil siasatan menunjukan pekerja di stesen minyak akan membekalkan data akaun asal kepada sindiket ini yang kemudiannya akan dipindahkan ke komputer riba milik mereka yang mempunyai sistem untuk mengklon data.

Katanya data itu akan dipindahkan ke dalam akaun kad sindiket berkenaan sebelum diesel subsidi yang dibeli kemudian dijual kepada pihak ketiga pada harga yang lebih tinggi. Kesemua lelaki yang ditahan kini direman sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya.

"Polis kini sedang giat mengesan pekerja stesen minyak yang bersubahat dengan sindiket berkenaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Polis Tumpas Sindiket Kad kredit Palsu

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan