suria

Murid Tahun Lima Maut Digilis Bas

IPOH: Seorang murid Tahun Lima, yang menunggang basikal untuk ke sekolah pagi ini, maut apabila dirempuh sebuah bas sekolah di kawasan taman perumahan Bercham di sini.

Lim Jian Wei, 11, murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Bercham cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, kejadian berlaku ketika kanak-kanak terbabit yang berasal dari Taman Pakatan Bercham menunggang basikal untuk ke sekolah pada pukul 6.55 pagi.

Beliau berkata, kejadian dilapor berlaku ketika bas itu membelok ke kiri jalan dan tanpa disedari merempuh murid terbabit yang berhenti di simpang jalan menyebabkan kanak-kanak itu terjatuh dan digilis tayar belakang bas.

"Kejadian berlaku ketika bas yang membawa pelajar dari Taman Bercham dalam perjalanan ke sebuah sekolah di sini," katanya ketika dihubungi di sini.

Azisman berkata, pemandu bas berusia 60 tahun itu ditahan untuk siasatan.

Dalam kejadian lain, seorang terbunuh manakala dua cedera apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan merempuh bukit di tepi jalan sebelum terhumban ke dalam longkang di KM40 Jalan Ipoh-Cameron Highlands awal pagi ini.

Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 1.49 pagi itu ialah pemandu kereta Chin Heng Wah, 21, berasal dari Taman Indah, Brinchang.

"Dua rakannya yang masing-masing berusia dalam 20-an mengalami kecederaan di badan dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun," kata Azisman.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari Ipoh ke rumah mereka di Brinchang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain