suria

Perkhidmatan LRT Dari Ampang Akan Diperluas Menjelang 2012 - Ong

PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini berkata kementerian itu bercadang memperluaskan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) dari Ampang tidak lama lagi.

Beliau berkata kementerian itu menerima maklum balas daripada orang ramai memintanya memasukkan dan menambah baik laluan Ampang dalam pelan pemanjangan rel itu, terutamanya di sekitar kawasan Puchong dan Serdang. "Kementerian baru sahaja menyiapkan projek memanjangkan rel dari stesen Kelana Jaya ke Subang.

"Kami akan menjalankan proses yang sama sepertimana semasa melaksanakan projek pemanjangan rel di Kelana Jaya, termasuk mengadakan pendengaran awam dan juga mesyuarat dewan bandaran, bagi projek pemanjangan rel dari Ampang ke Puchong-Serdang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan "Hope and Train 2009/2010 Appreciation Ceremony" di kampus baru Taylor's University College di sini.

Ong berkata kementerian itu mendapat sokongan menggalakkan bagi projek memanjangkan rel dari Kelana Jaya ke Subang tahun lepas dan memutuskan untuk melakukan proses yang sama bagi laluan Ampang.

Katanya orang ramai juga mahu perkhidmatan LRT dipertingkatkan termasuk mengurangkan masa menunggu.

"Oleh kerana meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam merupakan satu daripada teras dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), adalah menjadi tanggungjawab kementerian untuk meningkatkan sistem LRT," katanya.

Pemanjangan rel landasan LRT Ampang akan bermula dari stesen Sri Petaling melalui Kinrara dan Puchong sebelum berakhir di Putra Heights, meliputi jarak sepanjang 17.7km dengan 13 stesen baru.

Ditanya sama ada khidmat LRT laluan Ampang juga akan menggunakan koc baru seperti LRT laluan Kelana Jaya, Ong berkata kementeriannya akan melakukan kajian terhadap perkara itu.

Projek pemanjangan rel LRT bagi laluan Kelana Jaya dan Ampang dianggarkan menelan kos RM7 bilion dan dikendalikan oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB). -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain