suria

APMM Kerah Unit Udara Pantau Perairan Pengerang

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kini menggunakan unit udaranya untuk mengawasi perairan Pengerang dekat sini, berikutan kegiatan pemindahan minyak secara haram dan jenayah maritim lain yang semakin menjadi-jadi di kawasan itu.

Pengarah Operasi APMM Wilayah Selatan, Kapten Mohd Zubil Mohd Som berkata, pemantauan unit udara agensi itu di perairan tersebut semalam berjaya mengesan dua buah kapal tangki asing yang sedang memindahkan minyak.

"Apabila helikopter Dauphin APMM merapati kapal MT Eastern Star dan MT Marida Marguerite, krew kapal terbabit kelihatan tergesa-gesa mencabut hos minyak yang telah disambung di antara kedua-dua kapal itu," katanya di sini hari ini.

Helikopter APMM terbabit kemudian memaklumkan perkara itu kepada aset laut agensi tersebut, KM Mulia, yang berada di lokasi berhampiran tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Mohd Zubil berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapal MT Eastern Star yang berdaftar di Tarawa, Kiribati dan kapal MT Marida Marguerite yang berdaftar di Majuro, Republik Kepulauan Marshall tidak mempunyai dokumen untuk melakukan pemindahan minyak, walaupun telah membayar cukai rumah api.

Kedua-dua kapal itu seterusnya ditahan tengah hari semalam pada kedudukan 2.5 batu nautika selatan Tanjung Kapal, Pengerang, sementara kapten kedua-dua kapal serta juruteranya dibawa ke ibu pejabat APMM Wilayah Selatan di Johor Baharu untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid Pertikai Keputusan PKR

Artikel Berikut

Artikel Lain