suria

Mayat Amah Dalam But Kereta: 6 Ditahan

MELAKA: Polis menahan enam suspek untuk membantu siasatan berhubung insiden mengerikan melibatkan mayat seorang pembantu rumah Indonesia berusia 31 tahun yang dibawa dalam but kereta oleh dua wanita tempatan dari sini ke Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Enam suspek yang ditahan di rumah masing-masing di sini termasuk ejen pembantu rumah dan temannya, kedua-duanya berumur 40 tahun dan empat lagi di rumah mangsa bekerja.

Mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini berikutan laporan bedah siasat yang mengesahkan pembantu rumah itu mati ekoran kecederaan fizikal di bahagian dada dan perut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, tiga lelaki dan tiga wanita ditahan berumur dalam lingkungan 26 hingga 64 tahun.

"Suspek terbabit direman selama seminggu untuk membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Majistret Muzila Mohamed Arsad membenarkan perintah reman di Mahkamah Seksyen di Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh.

Salehhudin berkata, polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, Nurul Aida berasal dari Bogak Besar, Indonesia bekerja untuk keluarga dari Taman Peringgit Jaya untuk lima bulan manakala permit kerjanya telah tamat tempoh.

Ditanya mengenai punca kecederaannya, Salehhudin berkata, siasatan masih dijalankan.

Pada Jumaat lalu, dua wanita membawa mayat Nurul dari sini ke Kuala Lumpur bertujuan untuk membakar mayat itu.

Sebelum ini, mereka melawat tempat kerja Nurul selepas dimaklumkan majikan pembantu rumah itu bahawa dia sedang sakit tenat.

Bagaimanapun, mereka terkejut apabila mendapati Nurul telah meninggal dunia dan diarahkan untuk mengendalikan pengebumiannya.

Dalam keadaan terpinga-pinga, mereka pun membawa mayat tersebut dengan kereta untuk mencari pengurus mayat di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun pengurus mayat terbabit enggan mengendalikan mayat itu kerana tiada dokumen sah dilampirkan.

Dia menasihatkan dua wanita itu untuk memaklumkan kematian itu ke Kedutaan Besar Indonesia.

Bagaimanapun, pegawai-pegawai kedutaan meminta dua wanita itu membuat laporan polis di Hospital Kuala Lumpur dan mereka berbuat demikian.

Kedua-dua wanita disoal siasat oleh polis pada pukul 2 pagi semalam.

Satu bedah siasat dijalankan terhadap mayat itu untuk mengenal pasti punca kematian Nurul pada hari yang sama.

Artikel Berikut

Artikel Lain