suria

Keputusan Disiplin Hassan Ali, Khalid Ditangguh 29 Januari

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Disiplin PAS Pusat hari ini terpaksa menangguhkan pengumuman keputusan berhubung siasatan terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pada 29 Januari depan.

Pengerusinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penangguhan itu ekoran kegagalan kedua-dua pemimpin itu menghadirkan diri pada pertemuan bersama jawatankuasa berkenaan di ibu pejabat parti hari ini.

"Kita tak dapat nak maklumkan hasil siasatan berhubung kes ini hari ini kerana kedua-dua mereka tidak hadir... mereka berhak mengetahuinya dahulu sebelum kita umumkan kepada orang ramai.

"Saya harap semua pihak bersabar sehingga 29 haribulan ini kerana pada tarikh itu kita akan umumkan secara rasmi kepada mereka dan umum," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Jawatankuasa Disiplin PAS yang bermesyuarat hampir tiga jam bermula pukul 9.30 pagi tadi sepatutnya mengumumkan keputusan berhubung siasatan berkenaan hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata pihaknya telah memaklumkan kepada kedua-dua pemimpin tersebut supa hadir pada hari ini.

Namun menurut beliau Hassan dan Khalid gagal berbuat demikian kerana sibuk dengan urusan masing-masing.

"Saya difahamkan YB (Yang Berhormat) Khalid ada urusan rasmi, beliau dikehendaki menghadap Sultan Selangor manakala Datuk Hassan pula gagal dihubungi mungkin beliau sibuk dengan tugas.

"Tapi tak mengapa, kita dah tetapkan agar mereka hadir 29 Januari ini pada pukul 3 petang," katanya.

Ditanya sama ada hasil siasatan akhir jawatankuasa itu hari ini mendapati keputusannya berpihak kepada kedua-dua pamimpin itu, Tuan Ibrahim berkata: "Nantilah, saya tak boleh nak komen banyak, sama ada berpihak atau tidak kita tunggu harinya nanti.

"Kalau saya komen lebih, mungkin akan timbul spekulasi lain pula, tak eloklah macam tu."

Selain itu, Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden PAS berkata beliau berpuas hati dengan hasil siasatan akhir jawatankuasanya berhubung kes kedua-dua pemimpin Selangor berkenaan.

"Saya amat berpuas hati dengan siasatan ini dan kami berharap semua pihak akan menerima keputusan yang bakal diumumkan nanti dengan hati yang terbuka," katanya.

Berhubung sama ada beliau akan memaklumkan keputusan berkenaan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terlebih dahulu, beliau berkata: "Kita tak perlu maklumkan kepada Presiden kerana ini adalah bidang kuasa Jawatankuasa Disiplin."

Artikel Berikut

Artikel Lain