suria

Kastam Rampas RM62 Juta Dadah Di KLIA Tahun Lepas

PUTRAJAYA: Pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM62 juta telah dirampas ketika cuba diseludup oleh penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sepanjang tahun lepas.

Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Mohamed Khalid Yusuf berkata jumlah itu meningkat berkali ganda berbanding tahun sebelumnya iaitu RM17.6 juta.

"Siasatan mendapati sebahagian besarnya (penumpang) datang dari Chennai, India. Bukan bias (berat sebelah) tetapi statistiknya meningkat," katanya kepada pemberita pada majlis pertemuan Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Ibrahim Jaafar bersama media di sini hari ini.

"Ramai antara mereka datang dari sebuah perkampungan di Trichy (Chennai). Bila di tahan mereka adalah sekampung. Ada kes, ketamin diletak dalam tin kunyit," katanya.

Mohamed Khalid berkata JKDM kini lebih waspada dengan penumpang bagi penerbangan dari Chennai sama ada terus ke Kuala Lumpur atau transit di Bangkok atau Singapura, sebelum masuk ke negara ini.

Katanya pemerhatian JKDM mendapati pola kemasukan pelancong dari Chennai semakin bertambah pada suku akhir tahun lepas.

Beliau berkata jenis dadah paling banyak dirampas ialah pil ketamin, eramin, syabu dan ganja.

Kejayaan JKDM itu juga berkait rapat dengan hasil pertukaran maklumat risikan daripada kastam serantau terutama Hong Kong yang dilihat amat berkesan, katanya.

Sementara itu, Ibrahim dalam ucapannya berkata JKDM mengutip cukai tidak langsung berjumlah RM25.9 bilion sepanjang tahun lepas, yang mana 62.1 peratus merupakan cukai dalam negara seperti eksais, perkhidmatan dan jualan.

Beliau berkata baki kutipan adalah dari cukai import dan eksport serta tindakan penguatkuasaan jabatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain