suria

Tiga Lelaki Diberkas Kerana Edar Dadah

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam sindiket mengedar dadah diberkas dalam satu serbuan di sebuah rumah tumpangan di Jalan Petaling di sini, dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Kang Chez Chiang berkata mereka yang ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi itu berumur antara 37 dan 49 tahun.

"Polis menemui 31 paket dadah jenis heroin yang dianggar seberat 121 gram dan lima tiub syabu seberat 1.5 gram, yang kesemuanya bernilai RM3,880 daripada mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kumpulan itu menyewa rumah tumpangan itu untuk dijadikan sebagai pusat bagi menjalankan kegiatan mengedar dadah untuk pasaran di sekitar ibu negara.

"Siasatan juga menunjukkan mereka aktif dalam kegiatan mengedar (dadah) sejak dua bulan lepas dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah," katanya.

Menurutnya kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bermula semalam.

Sementara itu Kang berkata polis menahan 12 lelaki dan seorang wanita dalam "Ops Tapis" di sebuah bangunan kosong di Jalan Baba off Jalan Pudu di sini, semalam.

Katanya empat daripada 13 suspek yang ditahan itu dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah manakala suspek yang lain adalah penagih. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain