suria

Mangsa Banjir Di Telupid dan Kinabatangan Terus Meningkat

SANDAKAN: Jumlah mangsa banjir di Telupid dan Kinabatangan yang dipindahkan akibat banjir sehingga jam 6 petang hari ini meningkat kepada 1,362 orang.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir Telupid, Rozita Daha berkata mangsa banjir yang dipindahkan di daerah itu membabitkan 1,232 orang dari kampung Kiabau, Ansuan, Bauto, Baba, Buis dan Pekan Telupid.

Katanya empat daripada kampung tersebut iaitu Kiabau, Buis, Ansuan dan Bauto terputus hubungan jalan raya dengan kawasan lain disebabkan jalan raya dinaiki air banjir akibat kenaikan paras sungai Labuk.

"Di kampung itu, pasukan penyelamat yang terdiri anggota bomba dan penyelamat, polis marin dan Jabatan Pertahanan Awam turut membantu membawa keluar mangsa dari rumah ke pusat pemindahan banjir," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir membabitkan balai raya dan dewan serbaguna serta ada yang menumpang di rumah saudara mereka.

Katanya jalan raya di KM 51 Jalan Telupid-Sandakan turut dinaiki air banjir menyebabkan ia hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan berat sahaja.

Di Kinabatangan, mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir berjumlah 130 orang dari kampung Sangau, Bukit Garam, Pelangi dan Jaya Baru.

Jurucakap Pusat Kawalan Banjir Kinabatangan berkata paras air sungai semakin meningkat kepada 10.6 meter yang berada di paras bahaya.

Artikel Sebelum

Usaha Bersihkan Sungai Klang

Artikel Lain