suria

Malaysia Tinjau Peluang Tingkatkan Perdagangan dan Pelaburan di UAE

DUBAI: Lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan meningkatkan lagi profil Malaysia di negara Teluk dan merangsang hubungan politik, di samping perdagangan serta pelaburan, antara kedua-dua negara.

"Ini merupakan lawatan kedua beliau ke Abu Dhabi sejak menjadi Perdana Menteri pada April 2009. Ia menggambarkan hubungan dua hala yang semakin berkembang antara Malaysia dan Abu Dhabi, selain UAE," kata Duta Malaysia Datuk Yahaya Abdul Jabar.

Lawatan dari 16 hingga 19 Januari itu atas jemputan Jeneral Sheikh Mohammad bin Zayed Al Nahyan, Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE.

Pada 2008, UAE merupakan rakan dagang Malaysia ke-17 terbesar, destinasi eksport ke-15 terbesar, sumber import ke-20 terbesar dan rakan dagang terbesar di Timur Tengah.

Bagi tempoh Januari-Oktober 2009, jumlah keseluruhan dagangan antara kedua-dua negara berada pada RM11.8 bilion.

Pesuruhjaya kanan perdagangan Malaysia yang berpusat di Dubai, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata terdapat lebih 80 syarikat berdaftar Malaysia yang beroperasi di UAE, terutamanya di Dubai dan Abu Dhabi.

Najib dijadual menghadap Presiden dan Pemerintah UAE Abu Dhabi Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan.

Semasa lawatan ke Dubai, pemimpin Malaysia itu juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, serta Pemerintah Dubai.

Aturcara lawatan beliau termasuk menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Tenaga Masa Depan Dunia di Abu Dhabi. Yahaya berkata lawatan Perdana Menteri bukan sahaja untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tenaga Masa Depan Dunia tetapi juga untuk memperkukuhkan hubungan ekonomi dan politik.

"Malaysia juga bergerak aktif dalam menarik pelaburan dari Abu Dhabi. Pada masa ini, Mubadala dan Abu Dhabi Commercial Bank mempunyai pelaburan di Malaysia," katanya.

Perdana Menteri akan turut menyaksikan upacara penyerahan lima menara kediaman yang dibina oleh sebuah konsortium dari Malaysia di Pulau Al Reem.

"Perlu dinyatakan bahawa hubungan yang semakin berkembang antara Malaysia dan Abu Dhabi akan lebih ditingkatkan lagi apabila Sheikh Mohammad, iaitu Putera Mahkota, melawat Malaysia pada Mei 2010.

"Perdana Menteri Malaysia secara peribadi telah menjemput beliau untuk melakukan lawatan itu dan berucap pada Forum Ekonomi Islam Dunia di Kuala Lumpur," kata duta itu.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, selain delegasi Malaysia yang menganggotai rombongan beliau, ketika ini berada di Riyadh di mana Perdana Menteri menamatkan lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi.

Najib dijadual berlepas ke Abu Dhabi malam ini. - BERNAMA

Artikel Lain