suria

Kerajaan Tetapkan Tempoh Jabatan, Agensi Jawab Surat

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menetapkan tempoh 14 hari bagi semua jabatan, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan untuk menjawab surat dan pertanyaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah.

Katanya, kerajaan memandang serius mengenai perkara itu dan Biro Pengaduan Awam (BPA) memantau rapi situasi berkenaan.

Beliau menggesa mereka yang belum menerima sebarang maklum balas dalam tempoh ditetapkan itu supaya memaklumkannya ke pejabat BPA yang berhampiran melalui surat, e-mel, faksimili, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau datang sendiri ke pejabat BPA.

"Kita memberi jaminan kepada rakyat, BPA akan mengambil aduan itu dengan secepat mungkin dan memberikan maklum balas semula kepada si pengadu," katanya.

Semalam, Menteri Penerangan Komunikasi dan kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, Perdana Menteri sendiri akan memantau semua jabatan dan agensi kerajaan dalam menyelesaikan permintaan rakyat dari masa ke semasa untuk memastikan tindak balas daripada jabatan dan agensi kerajaan menepati masa.

Dalam perkembangan lain, Murugiah berkata, beliau mahu tindakan larangan peraduan menerusi SMS dikenakan kerana ia sering disalahgunakan oleh mereka yang mempromosikan peraduan berkenaan.

Menurutnya, BPA menerima banyak aduan daripada peserta peraduan yang menyatakan mereka terkeliru dengan peraduan sedemikian.

Sebagai contoh, satu peraduan yang dianjurkan oleh sebuah syarikat telefon bimbit baru-baru ini dan peserta mengadu bil bulanan mereka "melambung tinggi" selepas mereka diumumkan sebagai pemenang.

Sementara itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati ketika menyertai peraduan sedemikian.

Setiausaha Agungnya, Mohammed Shaani Abdullah berkata, pengguna perlu membaca syarat-syarat utama peraduan sebelum membuat keputusan untuk menyertai peraduan itu.

Bagaimanapun katanya, kadang kala terdapat syarikat yang gagal memberikan maklumat terperinci kepada pengguna dan ini melanggar peraturan.

Beliau menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memantau peraduan sedemikian bagi mengelakkan penyalahgunaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain