suria

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Kemalangan

IPOH: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chung terbabit dalam kemalangan apabila kereta yang dinaiki melanggar bahagian belakang sebuah lori di KM344, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Tapah hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah Supritendan Roslan Bek Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Dr Hou dan pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dr Hou ketika itu dalam perjalanan dari utara ke selatan dengan menaiki kereta Perdana V6, katanya ketika dihubungi hari ini.

Roslan berkata, siasatan awal polis mendapati lori itu tiba-tiba membelok ke kanan jalan menyebabkan kereta yang dinaiki timbalan menteri berkenaan tidak sempat mengelak dan melanggarnya.

Kereta berkenaan hanya mengalami kerosakan kecil dan pemandunya telah membuat laporan polis manakala Dr Hou meneruskan perjalanan ke selatan dengan sebuah kereta lain, katanya.

Katanya polis telah mengambil keterangan daripada pemandu lori terbabit. - BERNAMA

Artikel Lain