suria

Lelaki Maut Ditikam Di Perut Dan Dada

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki maut selepas ditikam beberapa kali di perut dan dada dalam satu pergaduhan di Jalan Pengkalan, Bukit Tengah di sini malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPS) Supt Mohan Singh Tara Singh berkata dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa V. Davindran berusia dalam lingkungan 30an maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di badan.

"Dalam kejadian pergaduhan antara beberapa orang itu, mangsa ditikam sebanyak lapan kali di bahagian perut dan dada setelah terlibat dalam pergaduhan.

"Mangsa juga ditetak sebanyak empat kali di lengan. Polis menemui satu sarung pisau di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata polis percaya pergaduhan itu berpunca daripada dendam atau perselisihan faham antara mangsa dan kumpulan lelaki yang menyerangnya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.

Beliau berkata polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain