suria

Bahan Dan Kualiti Kerja Tidak Ikut Spesifikasi Punca Bumbung Stadium SMZA Runtuh

KUALA LUMPUR: Bahan dan kualiti hasil kerja yang tidak memenuhi spesifikasi dikenal pasti antara punca utama struktur bumbung kerangka Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, runtuh Jun tahun lepas. Menurut laporan Jawatankuasa Penyiasatan kejadian itu, faktor reka bentuk yang tidak memadai, bumbung yang tidak dibina dengan sempurna dan kawalan kualiti yang tidak dilaksanakan di tapak projek turut menyumbang kepada kejadian tersebut.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor yang mendedahkan laporan Jawatankuasa Penyiasatan itu hari ini berkata, siasatan juga mendapati pengawasan yang agak kurang ketika kerjakerja pembinaan selain dilakukan secara tergesa-gesa turut menjejaskan kualiti stadium berkenaan. Mengulas perkara itu, Shaziman berkata laporan itu telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam yang juga bersetuju supaya laporan itu diserahkan kepada kerajaan negeri Terengganu manakala satu lagi salinan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara, katanya kepada pemberita di sini.

Shaziman yang ditemui ketika mengadakan lawatan kerja ke Hubungan Kerinchi Arah Utara Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dekat sini berharap kerajaan negeri Terengganu dapat menggunakan hasil laporan itu untuk mengambil langkah susulan. Mengenai lawatan kerja itu, Shaziman berkata, kerajaan bersedia untuk membantu Sprint dalam usaha pengambilan tanah bagi menyelesaikan isu jalan susur yang tergendala pembinaannya di Kilometer 1.8 lebuh raya itu, berhampiran kawasan Mont Kiara yang merupakan punca kepada kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

Sprint telah membina jalan susur itu pada 2003 sebagai laluan khas kepada kenderaan daripada "Hubungan Kerinchi dan Hartamas" ke "Hubungan Penchala yang menghala ke Taman Tun Dr Ismail, Kepong dan Damansara Utara" bagi memudahkan perjalanan lalu lintas di kawasan Mont Kiara.

Bagaimanapun, pembinaan itu terhenti sejak 2003 berikutan isu pemilikan tanah yang dituntut oleh pihak ketiga.

Menurut Shaziman, pihak ketiga menuntut pampasan berjumlah RM18 juta untuk tanah berkenaan.

Pada masa kini, aliran trafik yang melalui jalan susur sepanjang 530 meter yang sudah 95 peratus siap itu, telah meningkat lebih 100 peratus daripada 20,000 pengguna pada tahun 2004 kepada kirakira 54,000 pengguna yang menyebabkan kesesakan trafik yang teruk di kawasan tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain