suria

Penduduk Setinggan Bukit Botak Lega Kerajaan Selangor Ambil Alih Tanah

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor telah mengambil alih tanah seluas 55.8 hektar di Bukit Botak, Selayang, bagi memastikan hak semua penduduk setinggan di kawasan itu dilindungi.

Langkah itu membebaskan setinggan daripada perjanjian yang dimeterai dengan pemaju Delpuri Corporation Sdn Bhd (DCSB), yang gagal membangunkan dan menyusun semula penempatan setinggan itu ke Taman Selayang Mutiara.

"Kerajaan negeri tidak mempunyai niat untuk menafikan setinggan Bukit Botak hak mereka dan berharap meyelesaikan isu itu secepat mungkin," menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor, semalam.

"Perjanjian dengan pemaju itu menghalang kerajaan negeri membina rumah bagi setinggan Bukit Botak. Dengan terbatalnya perjanjian itu, kerajaan negeri mampu bincang pelan pembangunan Bukit Botak dengan penduduk setinggan," katanya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pengambilalihan itu akan membatalkan liabiliti penduduk setinggan dengan DCSB.

"Ia tidak akan mengambil hak mereka sebaliknya ia akan membantu kerajaan negeri mengembalikan hak penduduk setinggan ke atas tanah itu," katanya.

Menurutnya, langkah kerajaan negeri itu akan memastikan proses telus dalam memilih pemaju baru dan kompeten dapat dilakukan dan menyelesaikan masalah 270 penduduk setinggan yang kini tanpa geran tanah.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menemui pemilik tanah secepat mungkin bagi menjelaskan keputusan itu dan pelan pembangunan di kawasan tersebut.

"Kami sedar ada pihak tertentu cuba melobi menentang pengambilalihan tanah itu kerana akan mengalami kerugian besar. Ada juga yang cuba melobi untuk membangunkan kawasan itu.

"Kami tidak mahu penduduk setinggan ditipu sekali lagi," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain