suria

Pekerja Asing Di KLIA Perlu Diperiksa - MASEU

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) menggesa supaya pekerja-pekerja asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kompleks Kargo MAS turut diperiksa dalam usaha mempertingkatkan keselamatan.

Keselamatan lapangan terbang di seluruh dunia telah dipertingkatkan berikutan rancangan pengeboman sebuah pesawat di Amerika Syarikat yang mahu ke Detroit, yang berjaya dipatahkan.

" KLIA dan Kompleks Kargo MAS adalah kawasan berisiko tinggi dan kawasan larangan yang dikategorikan sebagai tempat pengawasan ketat.

" Oleh itu, syarikat-syarikat vendor mesti mempunyai latar belakang lengkap mengenai pekerja mereka terutama rekod jenayah mereka dari negara asal, dan mereka mesti menyediakan semua maklumat lengkap ini kepada polis dan Jabatan Imigresen sebelum mereka dibenarkan bekerja di tempat-tempat berkenaan," kata Setiausaha Eksekutif MASEU Mustafar Maarof dalam satu kenyataan.

Mustafar berkata berdasarkan data tidak rasmi, dijangkakan 700 pekerja asing bekerja di KLIA dan 300 lagi di Kompleks Kargo MAS, dan mereka terlibat dalam memasukkan atau mengeluarkan sama ada bagasi penumpang atau kargo daripada pesawat. Di Kompleks Kargo MAS, pekerja asing juga dibenarkan memandu trak forklift oleh syarikat vendor.

Mustafar berkata kesatuan itu telah menggesa kerajaan untuk mengurangkan pekerja asing di KLIA sejak 2007.

"MASEU berpendapat kerja-kerja ini perlu diberikan kepada pekerja tempatan dengan gaji yang munasabah dan dengan faedah sampingan bagi menarik pekerja-pekerja tempatan dalam bidang ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain