suria

Beras Seludup Bernilai RM82,600 Dirampas

PENGKALAN KUBOR: Pasukan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan menumpaskan cubaan menyeludup 25,000 kilogram beras bernilai kira-kira RM82,600 dalam serbuan di Kampung Bunut Kasar, Pasir Mas, semalam.

Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata, serbuan terhadap sebuah rumah kosong pada jam 5.30 petang itu adalah hasil maklumat awam dan risikan anggota UPP.

"Hasil pemeriksaan terhadap rumah berkenaan kami menemui 500 kampit beras yang setiap satu seberat 50 kilogram. Kami percaya beras itu akan dihantar kepada pemborong untuk dibungkus semula menggunakan jenama tempatan sebelum dipasarkan ke luar Kelantan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan di kawasan sempadan bagi mengawal kegiatan penyeludupan bukan sahaja beras tetapi juga gula dan mercun.

"Kita jangka penyeludupan gula akan meningkat memandangkan harga gula di negara jiran lebih tinggi dan penyeludupan bunga api pula akan semakin aktif menjelang Tahun Baru Cina tidak lama lagi," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain