suria

Isu Kalimah Perlu Ditangani Dengan Bijak

KUALA LUMPUR: Semua pihak terutamanya badan bukan kerajaan (NGO) hendaklah mengambil pendekatan berhemah dan bijaksana dalam menangani isu penggunaan kalimah Allah oleh Herald-The Catholic Weekly, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

"Kita tahu ada pihak yang sedang menunggu peluang keadaan positif bertukar menjadi negatif kerana akan berlaku adu domba tidak baik dan sebagainya. Jadi kalau kita tidak tangani dengan betul ia akan menyebabkan kebimbangan yang tidak terkawal," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Sekolah Sesi 2010 di sini hari ini.

Khamis lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catolic Weekly menggunakan perkataan "Allah".

Pada 16 Februari lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Jamil Khir berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu dan memaklumkan perkara berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita akan membuat rayuan secepat mungkin tetapi ia harus dibuat melalui KDN. Kerajaan dah bagi komitmen dan berjanji untuk merayu, saya fikir dalam hal ini jangan kita terlalu tergopoh-gapah kerana ia melibatkan mahkamah dan melibatkan soal pelbagai bangsa dan agama," katanya.

Menurut beliau, umat Islam di negara ini diminta bersatu hati tanpa mengira fahaman politik bagi mempertahankan penggunaan kalimah Allah sebagai hak mutlak agama Islam.

"Ini bukan agenda parti politik, individu atau kelompok tersendiri, hal ini adalah berkaitan dengan akidah dan juga keyakinan serta kepercayaan umat Islam dengan penggunaan kalimah Allah yang kita pegang selama ini," katanya.

Jamil Khir berkata, pihaknya juga akan mewujudkan akta dan enakmen berkaitan penggunaan perkataan dan kalimah yang boleh menyentuh sensitiviti umat Islam terutamanya di negeri-negeri yang belum mempunyai akta dan enakmen berkaitan.

Sementara itu, seramai 337 murid sekolah rendah menerima sumbangan peralatan sekolah, manakala 17 pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) menerima sumbangan RM200 pada majlis anjuran Pergerakan Pemuda Umno Cheras dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Cheras itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain