suria

Pegawai LKIM Didakwa Terima Suapan RM5,500

SANDAKAN: Seorang pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sandakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperoleh suapan wang berjumlah RM5,500 pada tahun lepas.

Resad Dillah, 54, didakwa memperoleh suapan daripada Lee Chee Kiong sebagai dorongan bagi mempercepatkan kelulusan 27 permohonan kad pintar e-petrol yang baru.

Dia yang tidak diwakili peguam, dituduh melakukan kesalahan tersebut pada 23 September tahun lepas di pejabatnya di Bandar Fajar di sini.

Resad didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum menurut seksyen 16 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Awang Samsul Baharam Bongsu.

Hakim Indra Ayub membenarkan Resad diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin dan deposit sebanyak RM1,000 serta menetapkan 1 hingga 5 Mac tahun hadapan sebagai tarikh perbicaraan.

Awang Samsul memberitahu mahkamah pihak pendakwa akan memanggil 11 saksi pada perbicaraan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain