suria

"Saya Akan Cari Mereka Hingga Ke Lubang Cacing": Bapa Mentua Dr Rosli

KOTA BHARU: Bapa mentua Dr Rosli Allani Abdul Kadir menganggap bekas Ketua Penerangan Pemuda Pas Kelantan itu telah melarikan anaknya dan beliau akan berusaha mencari mereka.

"Saya akan terus mencari mereka hingga ke lubang cacing bagi mengembalikan hak saya sebagai seorang bapa dan ketua keluarga," kata Mohd Noor Che Man.

Semalam, Mohd Noor, 58, dan beberapa rakannya mengepung rumah didiami Rosli, 35, dan anaknya, Nor Ilyani, 30, yang dikatakan mengingkari arahan Mahkamah Syariah supaya tinggal berasingan sementara (mufarakah) selepas kesahihan perkahwinan mereka diragui kerana disyaki dijalankan oleh satu sindiket di Selangor.

Bagaimanapun, pada jam 9 pagi tadi, Rosli dan Nor Ilyani berjaya melarikan diri dengan sebuah kereta yang sedia menunggu di pintu masuk rumah sewanya di Lorong Masjid Mustaqim, Telipot, dekat sini, walaupun ketika mereka masih dikepung oleh keluarga Mohd Noor.

Pada 21 November lepas, Rosli diperintah oleh Mahkamah Syariah supaya tinggal berasingan dengan Nor Ilyani yang merupakan isteri keduanya selepas mendapati perkahwinan mereka menimbulkan keraguan.

Mohd Noor berkata, beliau menyerahkan kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan tindakan lanjut terhadap anak dan menantunya itu.

Katanya, beliau hanya mengambil tindakan apa yang termampu mengikut bidang kuasa dan tanggungjawab yang ada pada seorang bapa.

"Tindakan lain yang di luar bidang kuasa, saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain