suria

Lima Anggota Kumpulan Samun, Seorang Peniaga Ditahan Polis

PETALING JAYA: Lima lelaki dipercayai anggota kumpulan samun dan seorang pemilik kedai menjual barangan terpakai diberkas di dua lokasi selepas seorang daripadanya ditahan ketika menyamun seorang wanita warga asing.

Lelaki itu ditahan oleh orang ramai selepas dia menyamun wanita berusia 52 tahun itu di kawasan Sea Park di sini kira-kira 12.20 tengah hari, 21 Disember lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata susulan daripada penahanan itu, polis menahan empat lagi lelaki dipercayai rakannya di sebuah rumah di Taman Medan dan Taman Sri Manja di sini pada Rabu dan Ahad lepas.

"Susulan daripada tangkapan itu juga, polis menahan seorang pemilik sebuah kedai yang menjual barangan terpakai di Taman Medan. Dengan tangkapan ini, polis dapat menyelesaikan kira-kira 40 kes samun di sekitar Sea Park, Kelana Jaya dan Petaling Jaya," katanya pada sidang berita di sini, hari ini.

Beliau berkata hasil tangkapan ke atas pemilik kedai itu, polis merampas 34 telefon bimbit, lapan jam tangan dan masing-masing satu projektor, komputer riba dan alat permainan video.

Pemilik kedai itu, yang berusia 42 tahun, dipercayai membeli barangan itu daripada penjual yang tidak dikenali termasuk kelima-lima suspek dan dia juga tidak memiliki lesen perniagaan.

"Kita percaya masih ada saki-baki ahli kumpulan ini yang masih bebas," katanya.

Arjunaidi berkata kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 20 dan 40 tahun termasuk pemilik kedai itu ditahan reman sehingga Jumaat ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain