suria

Kapten Bot Asing Ditahan Cuba Rasuah Anggota APMM

JOHOR BAHARU: Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan kapten sebuah bot warga asing kerana cuba memberi rasuah bagi melepaskannya daripada ditahan kerana melakukan kesalahan maritim semalam.

Pengarah Operasi APMM Wilayah Selatan, Kapten Mohd Zubil Mat Som berkata, kejadian berlaku pada 6.50 petang semalam ketika anggotanya sedang memeriksa bot tunda Marina Valor, 1.5 batu nautika selatan Tanjung Bulat di Pengerang.

"Semasa pemeriksaan dilakukan, kapten bot warga Indonesia itu cuba melakukan suapan berjumlah SGD$200 kepada Leftenan Mahmad Faizal Ahmad sebagai habuan bagi melepaskan beliau daripada ditahan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Berikutan itu menurutnya, kapten bot tunda berusia dalam lingkungan 30-an itu telah ditahan oleh anggota APMM Wilayah Selatan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Mohd Zubil berkata, ini adalah kejadian pertama membabitkan cubaan merasuah anggota APMM Wilayah Selatan.

Sementara itu, beliau berkata, kesemua sembilan kakitangan bot tunda itu, warga Indonesia berumur antara 24 hingga 37 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut oleh APMM Wilayah Selatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain