suria

Rompakan RM500,000 Agensi Nombor Ramalan: Dua Diberkas, Tiga Diburu

IPOH: Selepas memberkas dua perompak, polis kini memburu tiga yang lain selepas 45 minit kumpulan tersebut merompak wang tunai berjumlah RM500,000 dari sebuah premis agensi nombor ramalan di Bercham di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 2 petang itu, dua perompak terbabit ditahan oleh anggota polis peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dengan bantuan beberapa cawangan lain selepas mengejar serta menghimpit kenderaan yang dinaiki mereka di KM 15 Jalan Kampar-Gopeng.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata sebelum tangkapan dibuat, polis menerima laporan daripada orang ramai mengenai satu kejadian samun di kedai agensi nombor ramalan di Bercham kira-kira jam 1.10 petang.

"Laporan mengatakan sekumpulan lima penjenayah termasuk seorang warga Indonesia telah merompak dengan merampas beg berisi sejumlah wang tunai daripada anggota keselamatan yang sedang memindahkan wang dari kedai nombor ramalan itu ke dalam van keselamatan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, kumpulan penjenayah itu turut dikatakan mengugut dan bertindak agresif sehingga mencederakan dua anggota keselamatan yang cuba menyelamatkan wang berkenaan daripada dirompak.

Katanya, sejurus menerima laporan itu, polis mengerahkan anggota peronda mengejar dua kenderaan yang dinaiki lima penjenayah berkenaan secara berasingan dan berjaya mengesan mereka di Jalan Kampar-Gopeng, iaitu 45 minit selepas kejadian samun tersebut.

"Suspek-suspek cuba melarikan diri namun gagal apabila sebuah kereta Toyota Caldina yang dipandu dua daripada penjenayah itu berlanggar dengan kereta peronda menyebabkan berlaku kemalangan kecil sehingga ada anggota polis tercedera," katanya.

Azisman berkata, berikutan itu dua suspek berkenaan yang berusia antara 20-an dan 30-an berjaya diberkas. Manakala tiga lagi perompak dalam lingkungan umur sama, yang menaiki kereta Toyota Alphard berjaya melepaskan diri, katanya.

"Hasil pemeriksaan ke atas kereta Toyota Caldina itu, polis menemui beg berisi sejumlah wang tunai yang dipercayai merupakan sebahagian daripada duit rompakan dari van sekuriti terbabit.

"Siasatan awal polis mendapati, lima lelaki itu dipercayai menggunakan kenderaan curi berikutan nombor pendaftaran bagi kedua-dua kenderaan pelbagai guna itu menggunakan pendaftaran palsu.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan meminta kerjasama semua pihak bagi mengesan tiga lagi penjenayah yang masih diburu.

"Dua suspek yang ditahan akan direman bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau memuji tindakan pantas orang ramai yang memaklumkan kejadian itu kepada polis sehingga membolehkan dua daripada penjenayah berjaya ditahan.

"Kecekapan anggota polis menjalankan tugas tanpa mengira keselamatan diri juga perlu dihargai. Dua anggota kami tercedera selepas kejadian kejar-mengejar dan mereka dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kampar," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain