suria

Pelayan Warung Dihukum Gantung Kerana Edar Ganja

SHAH ALAM: Seorang pelayan warung dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar 622gm ganja enam tahun lepas.

Shahrul Izani Suparman, 25, didapati bersalah melakukan kesalahan itu di Jalan Haji Othman, Rantau Panjang di Klang pada 10.15 malam, 25 September 2003.

Shahrul Izani yang ketika melakukan kesalahan itu berumur 19 tahun dituduh mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin semasa membacakan keputusannya berkata walaupun umur tertuduh semasa ditahan di bawah 21 tahun, mahkamah tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati sebagaimana termaktub di dalam Seksyen 39B akta itu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor dibacakan di mahkamah.

Laporan itu yang antara lain menyatakan tertuduh tidak mengetahui isi kandungan bungkusan yang dibawanya adalah dadah kerana dia diupah oleh seorang kenalannya yang merupakan seorang penagih dadah untuk membuat penghantaran bungkusan itu.

Dia diupah RM50 bagi penghantaran pertama dan RM100 bagi penghantaran kedua tetapi malang pada kali ketiga dia telah diberkas polis.

Selama ditahan di dalam penjara selama enam tahun tiga bulan, menurut laporan itu Shahrul telah menggunakan pengalamannya sebagai pelayan untuk membantu di kantin penjara dan juga membantu menyediakan dokumen bagi banduan-banduan yang menjalani proses undang-undang di mahkamah.

Menurut laporan itu, Shahrul sudah insaf dan memohon supaya hukuman ke atasnya diringankan.

Bagaimanapun setelah mendengar laporan itu, Hakim Mohd Zaki berkata laporan itu berguna kepada tertuduh untuk maksud permohonan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan Negeri Selangor.

Tertuduh diwakili peguam Suzanawati Ismail manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hazril Harun. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain