suria

Hujan Lebat Di Kelantan Berterusan Hingga Selasa

KUALA LUMPUR: Jabatan Meterologi hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga di Kelantan yang dijangka berterusan sehingga Selasa malam.

Hujan sekejap-sekejap yang kadangkala lebat dari semasa ke semasa itu diramal berlaku di jajahan Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai.

Menurut kenyataan jabatan itu, hujan lebat berkenaan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berdekatan tebing-tebing sungai.

Jabatan itu turut mengeluarkan nasihat hujan lebat peringkat kuning di Johor yang dijangka berterusan sehingga esok.

Hujan sekejap-sekejap yang kadangkala lebat dari semasa ke semasa itu diramal berlaku di Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bharu.

Di Terengganu dan Pahang hujan sekejap-sekejap dan kadangkala lebat yang bermula Jumaat lalu dijangka berterusan sehingga Selasa malam.

Daerah yang terlibat di Terengganu ialah Dungun, Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman, manakala di Pahang ialah Kuantan, Pekan dan Rompin.

Keadaan tersebut boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berdekatan tebing sungai. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain