suria

Inkues Teoh Beng Hock Ditangguh Lagi Ke 7 Januari Depan

SHAH ALAM: Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock di Mahkamah Majistret Shah Alam ditangguhkan sekali lagi ke 7 Januari depan.

Peguam Gobind Singh Deo, ketika dihubungi media memberitahu, kes itu akan disebut semula pada tarikh tersebut bagi membolehkan kesemua pihak terbabit memberitahu perkembangan terkini kepada mahkamah terhadap keputusan bedah siasat kedua mayat Teoh.

Pihak media difahamkan laporan bedah siasat oleh pakar patologi dari Hospital Sungai Buloh itu masih belum disiapkan.

Pada 22 November lalu, sekumpulan pakar patologi di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh yang diketuai Ketua Unit Patologi, Dr Shahidan Md. Noor selesai melakukan bedah siasat kali kedua ke atas mayat mendiang yang digali semula sehari sebelum itu.

Mayat Teoh dikebumikan semula pada 24 November di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)Selangor yang berpejabat di plaza itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain