suria

Pemaju Perlu Optimumkan Pembangunan Tanah Wakaf

PETALING JAYA: Kerajaan menasihatkan pemaju yang bertanggungjawab membangunkan tanah-tanah wakaf yang terdapat di seluruh negara supaya mengoptimumkan pembangunan di tanah tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, langkah itu adalah perlu bagi memastikan institusi kewangan terus berminat untuk membiayai projek yang dijalankan di atas tanah wakaf berkenaan.

Katanya, mereka perlu mencontohi usaha yang dilakukan oleh Bank Islam yang berjaya membangunkan tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan pembinaan bangunan pejabat kelas A di Jalan Tun Perak sekaligus menjadikan ia sebagai ikon wakaf di negara ini.

"Jika kita lihat usaha pembangunan terhadap tanah wakaf sangat terhad berikutan tiada institusi kewangan yang mampu bersama menerajui dan memberi pinjaman untuk pembangunan di tanah wakaf milik umat Islam di seluruh negara.

"Tetapi saya yakin jika usaha yang diterajui oleh Bank Islam ini mampu memperlihatkan bahawa tanahtanah ini dapat dijaga dengan betul dan dimajukan dengan betul saya yakin banyak lagi tanah wakaf lain akan dapat dibangunkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bank Islam cawangan ke 95 di Kota Damansara di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM256.5 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi Program Pembangunan Tanah Wakaf di seluruh negara.

Daripada itu sebanyak 23 projek pembangunan sedang dilaksanakan iaitu 19 projek fizikal dan empat lagi bukan fizikal. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain