suria

Pelajar Perempuan Nyaris Disambar Api

BALING: Seorang pelajar perempuan nyaris terbakar ketika cuba memadamkan kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dua tingkat milik keluarganya di Kampung Masjid Titi Teduri di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang, Anisah Ishak, 16, yang berada di tingkat atas rumah hanya tersedar apabila api sedang marak membakar dinding rumah lalu mengambil air menggunakan baldi untuk memadam api.

Menurut pelajar itu, dia menjerit memanggil ibunya yang berada di tingkat bawah serta meminta pertolongan jiran apabila gagal memadam api.

"Semua pakaian dan peralatan sekolah saya untuk tahun hadapan musnah," kata Anisah yang akan memasuki tingkatan lima pada sesi persekolahan Januari ini.

Ibu pelajar itu, Saadiah Abdullah, 60, berkata, dia hanya sedar rumahnya terbakar setelah terdengar jeritan Anisah.

"Kami tidak sempat menyelamatkan sebarang benda kerana api marak begitu cepat. Jiran yang datang cuba membantu tetapi tidak mampu memasuki rumah kerana api terlalu marak," katanya.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Baling Abd Kudus Abd Malik berkata 10 anggotanya dengan dibantu lima orang dari Pasukan Bomba Sukarela Kuala Pegang berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah berdekatan dalam masa 15 minit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain