suria

Keputusan Permohonan Anwar Diketahui 5 Januari Ini

KUALA LUMPUR: Keputusan mengenai permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya diadakan satu semakan kehakiman bagi mencabar kenyataan bertulis pendakwaan bahawa tidak ada sebarang fakta yang memihak kepadanya yang boleh dibekalkan kepada beliau dalam kes liwat terhadapnya akan diketahui 5 Januari ini.

Hakim Datuk Aziah Ali menetapkan tarikh itu dalam kamarnya selepas mendengar hujah peguam Anwar, Edmund Bon, dan Peguam kanan Persekutuan, Datin Azizah Nawawi d sini hari ini.

Anwar memohon agar mahkamah mengadakan semakan kehakiman bagi mengetepikan kenyataan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria, bahawa tidak ada sebarang fakta yang memihak kepada pembelaan dalam kes itu.

Beliau memohon perintah mandamus bagi memaksa pihak pendakwaan membekalkan kepadanya satu kenyataan bertulis yang mempunyai keterangan memihak kepadanya selain memohon perintah bagi melarang pihak pendakwaan daripada meneruskan prosiding kes liwat itu sehingga beliau memperoleh fakta yang dipohon itu.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun tahun lepas. Kes itu dijadual berlangsung selama sebulan bermula 25 Januari depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain