suria

Selangor Mahu Kaukus Ditubuh Bagi Bincang Modul BTN

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan membenarkan semula Kursus Biro Tata Negara (BTN) diikuti sekiranya satu kaukus ditubuhkan bagi membincangkan modul baru dalam kursus itu dan kaukus itu perlu membabitkan semua pihak termasuk wakil parti pembangkang.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata melalui jawatankuasa berkenaan, satu perbincangan boleh diadakan dalam menentukan modul yang lebih tepat dan berkesan bagi mencapai objektif BTN dalam melahirkan rakyat yang mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi terhadap negara.

"Kita akan terima semula BTN jika ia tidak menyentuh langsung hal berkaitan parti pemerintah dan politik atau memburukkan mana-mana pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Selangor di sini hari ini.

Kerajaan Selangor pada 25 Nov lepas melarang semua pegawai, pekerja dan mahasiswa yang berkaitan dengan kerajaan negeri itu daripada mengikuti kursus BTN dan langkah yang sama turut diambil oleh kerajaan Pulau Pinang pada 2 Dis lepas.

Arahan itu dikeluarkan kerana mendakwa kursus BTN adalah proses doktrinisasi yang sengaja diadaadakan Barisan Nasional tanpa memberi kebaikan kepada peserta dan menjadi tempat untuk memupuk semangat perkauman di kalangan peserta yang dikatakan boleh memecahbelah rakyat.

Abdul Khalid berkata kaukus itu perlu membabitkan wakil dari pihak kerajaan dan semua parti politik di negara ini bagi merangka modul yang lebih sesuai serta memastikan ia tidak menyimpang dari matlamat sebenar penubuhannya.

"Saya sendiri pernah terbabit dengan BTN dan memberikan ceramah, begitu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat Parti Keadilan Rakyat), malah Datuk Hassan Ali (Pesuruhjaya Pas Selangor) sendiri adalah antara individu terawal terbabit dengan kursus BTN," katanya. Abdul Khalid berkata memang terdapat modul atau bahagian tertentu di dalam kursus BTN yang tidak relevan dengan matlamatnya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata kerajaan Selangor akan mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu supaya menyediakan peta kawasan berbahaya sebagai rujukan kepada pemaju dan orang ramai.

Beliau berkata satu perbincangan akan diadakan dengan semua PBT di negeri itu bagi menyediakan peta berkenaan yang merupakan kajian fizikal terhadap kawasan berisiko tinggi berlakunya bencana.

Katanya melalui peta itu pemilik atau pemaju hartanah yang terbabit boleh mengambil langkah yang sewajarnya bagi mengelakkan mereka berhadapan dengan risiko bencana. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain