suria

Peniaga Emas Putih Mata, Barang Kemas Dicuri

PASIR PUTEH: Pemilik sebuah kedai emas berhampiran Pasar Besar Pasir Puteh di sini berputih mata apabila barangan kemas yang dihantar pelanggannya untuk dibaiki dicuri.

Peniaga terbabit yang enggan dinyatakan namanya berkata, beliau kerugian kira-kira RM50,000 apabila kesemua barang kemas terbabit hilang kerana ia tidak disimpan dalam peti keselamatan. "Kejadian itu baru saya sedari kira-kira pukul 9.30 pagi tadi ketika saya mahu membuka perniagaan selepas dua hari premis ini ditutup.

"Saya langsung tidak menyangka ditimpa kejadian ini kerana sudah hampir 20 tahun berniaga di sini dan tidak pernah berlaku kejadian seperti ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, DSP Mohd Kamal berkata, pemilik kedai itu mengesyaki sesuatu apabila mendapati gril bahagian tengah dalam kedainya terkopak.

Mohd Kamal berkata, selepas memeriksa dalam kedainya, pemilik itu mendapati semua barang kemas yang dihantar pelanggannya itu telah hilang.

"Hasil siasatan polis mendapati pencuri memasuki premis berkenaan melalui bumbung selepas dipercayai memanjat gril di belakang bangunan premis itu," katanya. Beliau berkata, polis percaya kegiatan itu dilakukan lebih daripada seorang suspek.

Menurutnya, polis sukar menjejaki pencuri terbabit berikutan premis itu tidak menyediakan sistem keselamatan seperti ketiadaan alat penggera, tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) selain kawasan belakang premis terbabit yang tiada lampu dan terlalu gelap pada waktu malam.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain