suria

Mahkamah Tinggi Tolak Saman 817 Ketua Kampung

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan saman oleh 817 ketua kampung yang dilantik oleh kerajaan Pakatan Rakyat terhadap kerajaan negeri Perak pimpinan Barisan Nasional (BN) atas pemectan mereka.

Ketika menolak permohonan itu dengan kos, Persuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim berkata ketua kampung bukan petugas sektor awam dan pelantikan mereka hanya dibuat secara pentadbiran sahaja serta tidak ada kontrak.

"Dalam kes ini, taklimat dan penerangan yang diberikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pentadbiran) Datuk Mohd Jamal Mahusin kepada ketua kampung bahawa mereka dilantik mengikut arus politik semasa dan ketua kampung telah sedia maklum dengan perkara itu," katanya.

Beliau berkata faktor kesetiaan kepada kerajaan negeri sekarang turut diambil kira.

Katanya mahkamah turut mendapati kenyataan akhbar oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Februari lepas yang mengatakan khidmat mereka tidak akan ditamatkan pada ketika itu tidak membantu dalam kes ini dan kata-katanya dalam kenyataan itu bukan satu akujanji.

Ridwan turut berkata pegawai daerah telah menjalankan tugasnya dengan menyerahkan notis penamatan jawatan ketua kampung kepada mereka.

"Walaupun bekas Menteri Besar (Datuk Seri) Mohammad Nizar Jamaluddin telah menyampaikan watikah pelantikan bertarikh 1 Ogos 2008 hingga 31 Julai 2010 tetapi ia adalah bersyarat iaitu seperti mana yang telah diberi taklimat dan penerangan oleh Mohd Jamal Mahusin," katanya.

Pada 26 Mei lepas, ketua kampung Sungai Ati, Padang Rengas, Mohd Ridzuan Asit yang mewakili dirinya dan 816 ketua kampung menfailkan sama terhadap kerajaan negeri BN atas pemecatan mereka.

Dalam writ saman itu, plaintif menuntut ganti rugi punitif, keterlaluan dan teladan yang perlu dibayar oleh responden selain memohon perintah mewajibkan Zambry, selaku responden, melantik semula mereka sebagai ketua kampung.

Mereka juga menuntut perintah deklarasi bahawa pemecatan atau penamatan perkhidmatan mereka sebagai ketua kampung tersebut adalah batal dan tidak sah. Pihak plaintif diwakili oleh peguam Yunos Ali, Chan Kok Keong dan C.K Leong manakala kerajaan negeri diwakili oleh penasihat undangundangnya Datuk Ahmad Kamal Shahid dengan dibantu oleh penolongnya Zulqarnain Hassan.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Mohd Ridzuan, yang juga pengerusi jawatankuasa badan bertindak ketua kampung pakatan pembangkang, berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu. BERNAMA

Artikel Lain