suria

Enam Lagi Mayat Tragedi Bot Karam Di Kudat DiJumpai Hari Ini

KUDAT: Enam lagi mayat tragedi bot karam dekat sini dijumpai hari ini, kata Ketua Polis Kudat DSP Dawi Ossen.

Katanya empat mayat dijumpai berdekatan bangkai bot dan dua lagi mayat masing-masing dijumpai di Pulau Mandi Darah dan Pulau Jambongan.

Dawi berkata identiti dan jantina mayat berkenaan belum dikenal pasti.

Sehingga pukul 9 malam ini, 13 mayat sudah dijumpai manakala dua lagi masih hilang, dan 13 penumpang lain terselamat.

"Kita akan teruskan gerakan mencari dan menyelamat dua lagi yang hilang," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada kejadian petang Khamis lalu, sebuah bot, yang membawa 28 penumpang, karam kira-kira pukul 5.30 petang, sejam selepas bertolak dari jeti Kudat ke Pulau Banggi.

Dawi berkata gerakan mencari melibatkan pelbagai agensi kerajaan, termasuk Unit Udara Polis dan Tentera Darat, tertumpu di perairan Pulau Banggi dan sebuah pulau kecil iaitu Pulau Muli Angin kira-kira 20 batu nautika dari Kudat. - BERNAMA

Artikel Lain