suria

Jumlah Penagih Dadah Ditangkap Di Perak Meningkat

SITIAWAN: Jumlah penagih yang ditangkap dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini di Perak meningkat 41.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata seramai 26,457 penagih telah ditahan dalam tempoh tersebut berbanding 18,679 orang tahun lalu.

Beliau berkata peningkatan sebanyak 7,778 penagih yang ditangkap itu amat membimbangkan dan bagi menangani masalah tersebut Jabatan Narkotik akan membuat operasi 'membersihkan' kawasan-kawasan yang dikenal pasti menjadi sarang penagih dadah.

Zulkifli berkata kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog dengan penduduk pada Program Polis Besama Masyarakat Nelayan Pantai Remis di sini hari ini.

Katanya Pantai Remis dipilih sebagai lokasi untuk mengadakan program tersebut kerana kawasan itu dikenal pasti sebagai antara kawasan yang mempunyai banyak masalah penagihan dadah.

"Pantai Remis adalah kawasan nelayan utama di Manjung. Kebelakangan ini polis sering menerima aduan mengenai masalah penagihan dadah di kalangan awakawak bot.

"Jadi saya minta kerjasama daripada tauke-tauke bot laut dalam supaya sentiasa memantau pekerja mereka agar tidak terjebak dalam masalah ini," katanya.

Pada masa yang sama, beliau meminta pemilik bot laut dalam agar mengaktifkan gajet alat pengesan bot (VTU) bagi memudahkan pihak berkuasa menjalankan tugas memantau.

Beliau berkata, kebanyakan bot nelayan laut dalam hanya memasang VTU untuk mematuhi peraturan Jabatan Perikanan, tetapi tidak mengaktifkan gajet tersebut.

"Perkara ini perlu diberi perhatian serius. Gajet ini perlu diaktifkan bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan dan membantu sekiranya berlaku sebarang tragedi," katanya. BERNAMA

Artikel Lain