suria

Kastam Rampas 100 Motosikal Berkuasa Bateri Diisytihar Sebagai Basikal

KLANG: Kastam Selangor merampas 100 buah motosikal berkuasa bateri yang diseludup masuk ke dalam negara melalui Pelabuhan Utara, yang diisytiharkan sebagai basikal bagi mengelak dikenakan cukai pada Isnin lepas.

Timbalan Pengarah Kastam negeri, Chik Omar Chik Lim, berkata rampasan itu dianggarkan bernilai kira-kira RM175,000.

"Motosikal ini didapati menggunakan bateri yang diimport dari negeri China tanpa lesen import dan kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Katanya berdasarkan maklumat, motosikal itu akan dijual dan digunakan di kawasan pedalaman tanpa pendaftaran JPJ.

Chik Omar berkata mengikut tafsiran Kastam, motosikal mini bawah 50cc masih dianggap kenderaan biasa yang perlu mempunyai Permit Import (AP) untuk dibawa masuk ke dalam negara seperti kenderaan lain.

Bagaimanapun menurutnya, pengimport membuat pengisytiharan palsu dengan mengisytiharkannya sebagai basikal dan dijual dengan harga lebih RM2,000 di pasaran.

"Jumlah cukai keseluruhan 100 buah motosikal itu dianggarkan RM113,000," katanya.

Chik Omar berkata pihak Kastam sudah mengenalpasti pengimport yang terlibat dan akan menahan pengimport terbabit tidak lama lagi kerana membuat pengisytiharan palsu.

Sementara itu, beliau berkata sepanjang Januari sehingga ke hari ini, Kastam Selangor berjaya memungut pelbagai hasil cukai berjumlah RM53 juta. BERNAMA

Artikel Lain