suria

Tanah Runtuh Dekat Tmn Cheras Awana: Penduduk Degil Enggan Pindah

KUALA LUMPUR: Walaupun berlaku kejadian tanah runtuh kali kedua berhampiran rumah pangsa Taman Cheras Awana, dekat Kajang awal pagi ini, penduduk tetap tidak mahu meninggalkan rumah mereka meskipun diarah pihak berkuasa berbuat demikian.

Rata-rata penduduk berpendapat, kejadian tanah runtuh yang berlaku di lereng bersebelahan bangunan kediaman itu pada pukul 3 petang semalam sehingga menimbuskan tiga kereta dan sebuah motosikal, tidak membahayakan.

Tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati rata-rata penduduk menjalankan aktiviti harian seperti biasa dan tidak ada satu keluargapun yang meninggalkan kawasan itu.

Semalam, seramai 50 orang daripada 10 keluarga dari Rumah Pangsa itu diarah berpindah serta merta selepas kejadian tanah runtuh itu dengan menempatkan mereka di balai raya berhampiran dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyediakan bantuan kepada mereka.

Seorang penduduk rumah pangsa itu, Rashitah Kamarudin, 56, berkata beliau enggan berpindah ke tempat yang disediakan kerana berpendapat tanah runtuh itu tidak akan menimpa rumahnya biarpun kediamannya itu berhadapan dengan lereng bukit yang runtuh.

"Saya tinggal bersama suami dan seorang anak...sudah biasa mengalami tragedi sebegini, saya tengok ia tak bahaya walaupun apa yang berlaku semalam paling teruk berbanding kejadian pertama kali tahun lepas," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumah pangsa itu.

Beliau yang menetap di situ sudah lebih 15 tahun meminta MPKj membina tembok yang lebih kukuh di lerang bukit itu bagi menjamin keselamatan penghuni di rumah pangsa itu.

Rashitah yang mempunyai perniagaan bas sekolah itu berkata, tembok di lereng bukit itu dibina selepas kawasan lereng yang berhutan itu terbakar pada tahun lepas dan MPKj telah membina tembok itu sejak tiga bulan lepas.

Seorang pemandu yang telah menetap selama sembilan tahun di situ, Anthony Raj, 40, berkata beliau juga tidak akan meninggalkan rumah yang dibelinya itu kerana tinggal di rumah sendiri lebih selesa daripada tempat yang disediakan pihak berkuasa.

"Ini rumah saya sendiri, saya takkan pindah... sebelum ini pihak berkuasa menjanjikan membina tembok yang kukuh dan tahan selama 15 tahun, tetapi ia sudah beberapa kali runtuh dalam tahun ini terutama setiap kali hujan lebat sehingga kadangkala air boleh memasuki kawasan rumah," katanya yang tinggal di situ bersama isteri dan empat anak.

Anthony berkata, MPKj ada memantau keadaan tanah runtuh itu pagi tadi.

"Saya nampak mereka (MPKj) meninjau keadaan cerun tetapi tidak berbuat apaapa," katanya yang mengambil cuti sehari kerana kejadian tanah runtuh itu.

Tinjauan Bernama juga mendapati lereng yang runtuh di kawasan terbabit ditutupi kanvas plastik agar dapat mengurangkan pergerakan tanah ketika hujan dan jalan untuk melalui kawasan itu telah ditutup kepada semua lalu lintas.

Beberapa anggota polis kelihatan berada di kawasan itu sementara kerja pembersihan tanah belum dijalankan walaupun selepas 24 jam kejadian berlaku.BERNAMA

Artikel Lain