suria

K'jaan Akan Wujud Jabatan Khas Pantau Pekerja Asing

ROME: Kerajaan Malaysia bercadang mewujudkan sebuah jabatan khusus bagi menangani isu pekerja asing terutama bagi memantau pergerakan mereka selepas tempoh visa tamat.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jabatan berkenaan juga akan berperanan bagi mengatasi lambakan pekerja asing, yang jika tidak diatasi segera boleh menimbulkan pelbagai masalah sosioekonomi kepada negara.

"Saya melihat jumlah dua juta pekerja asing (yang mendaftar bekerja di Malaysia) merupakan satu angka yang besar. Perkara ini serius, rakyat juga bimbang.

"Kita kena kaji supaya (kemasukan) pekerja asing lebih tersusun kerana ia memberi kesan walaupun daripada satu sudut ia membantu," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Muhyiddin yang berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan dan Jaminan Makanan Dunia, diminta mengulas mengenai lambakan pekerja asing, yang menimbulkan pelbagai masalah sosioekonomi kepada negara.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing berkata, pada masa ini, tiada jabatan khusus yang memantau pergerakan pekerja asing terbabit apabila tempoh visa mereka tamat.

Beliau berkata, pengurusan terhadap pekerja asing perlu diperkemaskan kerana jika tiada sistem pemantauan yang rapi dan cekap, ia akan membawa kesan tidak baik kepada rakyat dan negara.

"Sesetengah pekerja sepatutnya pulang tetapi apabila sampai waktu pulang mereka masih berada di dalam negara walaupun kontrak mereka sudah tamat. Jumlah mereka ini besar dan kadang-kadang berlegar di tempat lain menjadi pekerja haram.

"Umpamanya majikan yang mengambil pekerja sehingga 1,000 orang. Kalau ikut jadual, bila majikan akan hantar mereka pulang, adakah majikan sudah membuat persiapan dan sebagainya?," tanya beliau.

Sehubungan dengan itu, katanya satu langkah komprehensif dan holistik perlu dilaksanakan supaya masalah lambakan pekerja asing itu tidak berterusan sekaligus menyukarkan pembinaan struktur model ekonomi baru negara.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata, warga asing yang ingin datang ke Malaysia, perlu menjalani proses saringan di negara asal masing-masing supaya tidak timbul masalah selepas mereka berada di negara ini.

Misalnya, beliau berkata, terdapat warga asing yang menggunakan visa pelajar namun tidak berbuat demikian apabila berada di Malaysia.

"Siapa yang bertanggungjawab, adakah Jabatan Imigresen, majikan atau pemilik kolej?" katanya lagi.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengadakan kunjung hormat ke atas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina pada Selasa.

Dalam pertemuan itu, Muhyiddin berkata kedua-dua mereka membincangkan tentang hubungan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh dengan tumpuan terhadap pekerja negara berkenaan di Malaysia.BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain