suria

Lelaki Didakwa Miliki Bom Tangan, Pistol Dan Edar Dadah

PULAU PINANG: Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini, masingmasing bagi pertuduhan memiliki bom tangan, pistol dan peluru tanpa lesen dan mengedar dadah.

Loh Eng Hin, 25, yang mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di 1A913 Jalan Ru 1, Desa Baiduri, Ayer Itam pada 11 malam, 27 Oktober lepas.

Di Mahkamah Sesyen, Loh dituduh memiliki sepucuk pistol jenis Taurus PT 92AFS dan sebutir bom tangan mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan.

Bagi pertuduhan memiliki 52 butir peluru pelbagai jenis, dia didakwa mengikut Seksyen 4, Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000 atau keduaduanya.

Hakim Rosilah Yop menetapkan kes disebut semula pada 9 Disember ini. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya G. Jayaprem.

Di Mahkamah Majistret, Loh didakwa terhadap tiga tuduhan mengedar dan miliki pelbagai jenis dadah.

Bagi tuduhan pertama dan kedua, Loh dituduh mengedar 2,030 gram dadah jenis ketamin dan heroin seberat 50.6 gram, mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dia juga dituduh memiliki dadah jenis Methamphatamine seberat 10 gram mengikut Seksyen 12 (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun atau rotan antara tiga hingga lima sebatan.

Majistret Noor Aini Yusop menetapkan 4 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mukhriz Mat Rus.

Loh diwakili peguam Ranjit Singh. BERNAMA

Artikel Lain