suria

Kerajaan Mahu Penjelasan PAS Kebenaran Isu Bai'ah - Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu kepimpinan PAS memberikan penjelasan mengenai dakwaan Bai'ah yang berlaku dalam parti itu yang dilihat tidak berlaku adil kepada golongan wanita.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom berkata ini kerana pihak kerajaan melihat Bai'ah adalah suatu keputusan yang hanya dibuat sebelah pihak tanpa perbincangan dengan pihak wanita.

"Kerajaan mahu melihat bahawa adakah kebenaran ini berlaku di luar sana dan juga ingin mendengar pandangan-pandangan terutamanya daripada pihak Dewan Ulama PAS, dan juga daripada Muslimat PAS, untuk memberikan jawapan kepada pandangan terhadap Bai'ah tersebut.

"Pihak kerajaan melihat Bai'ah memberikan sesuatu keputusan yang dibuat di sebelah pihak tanpa membicarakan, berbincang dengan pihak wanita dan keluarga serta anak-anak mereka bagi mendapatkan penjelasan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang UndangUndang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat di sini semalam.

Penjelasan itu terus mendapat perhatian Datuk Taib Azamudden Md. Taib (PASBaling) yang bingkas bangun untuk mempertikaikan mengenai isu tersebut yang dianggapnya adalah spekulasi semata-mata.

"Soal Bai'ah tidak pernah diputuskan di mana-mana peringkat dalam PAS, cuma yang ditimbulkan ini adalah spekulasi yang bermotifkan politik. Kami tengah siasat siapa yang timbulkan perkara ini, ini melibatkan soal isteri, soal taklik dan sebagainya," kata Taib Azamudden.

Baru-baru ini anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dari PAS mengakui wujudnya Bai'ah iaitu sumpah taat setia bahawa akan jatuh talak tiga terhadap isteri masingmasing jika mereka mengkhianati parti.

Mengenai kesukaran mendapatkan tauliah mengajar dan memberikan ceramah agama yang dibangkitkan Zulkifli Nordin (PKR-Kulim Bandar Baharu), Jamil Khir berkata setiap negeri mempunyai kuasa untuk menggubal peraturan atau kaedah berkaitan pentadbiran agama Islam termasuk pentauliahan yang diperuntukkan dalam Akta/Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri.

Beliau berkata langkah melaksanakan sistem pentauliahan bukan bermaksud untuk menyekat penyebaran agama Islam ataupun kebebasan bersuara sebaliknya ia adalah mekanisme terbaik untuk Jabatan Agama Islam Negeri memantau sebarang penyebaran yang tidak sesuai dan boleh menimbulkan salah faham masyarakat setempat.

"Bukan soal tak beri kebebasan bersuara tetapi Jabatan Agama Islam sendiri memohon supaya tauliah dipohon kepada mereka untuk tujuan memudahkan pemantauan kerana ada ramai penceramah, bukan sahaja penceramah tempatan tetapi juga dari luar negara seperti Sudan, Yemen, India, Pakistan dan Indonesia" katanya.

Beliau berkata pada masa ini hanya Wilayah Persekutuan dan Selangor yang mempunyai kaedah atau peraturan mengenai pentauliahan iaitu Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Tauliah Mengajar Agama Islam) 2006 dan Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Walaupun negeri-negeri lain masih belum menggubal kaedah atau peraturan mengenai tauliah mengajar, kuasa untuk melaksanakannya diperuntukkan dengan jelas di neger-negeri itu. BERNAMA

Artikel Lain