suria

JAIS Tapis Penceramah Asing Elak Kekeliruan Masyarakat Islam

KUCHING: Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) sentiasa memantau aktiviti penceramah agama khasnya dari luar negara yang berfahaman Wahabi agar tidak menimbulkan sebarang kekeliruan berhubung amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan oleh masyarakat Islam di negeri ini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri yang turut bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam Datuk Daud Abdul Rahman berkata bukan niat untuk mengatakan fahaman Wahabi itu tidak betul tetapi untuk memastikan masyarakat Islam tidak berpecah-belah kerana keliru berikutan kurang arif tentang fahaman tersebut.

"Kita tidak mahu nanti ada masyarakat Islam yang kurang arif dalam agama bertelagah sesama sendiri sehingga tidak mahu datang berjemaah di masjid dengan alasan pihak masjid mengikut amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya kepada pemberita selepas upacara penyerahan watikah Jumaat kepada Masjid Husniwarrahmah Taman Rahmat atau Hussin di sini hari ini.

Namun katanya setakat ini kebanyakan penceramah luar dan asing yang masuk ke Sarawak memahami amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diguna pakai masyarakat Islam di Sarawak.

Katanya JAIS turut tidak menghadapi sebarang masalah dengan pelajar Islam Sarawak yang mengambil jurusan agama di luar negara kerana mereka memang sudah sedia maklum masyarakat Islam di sini berpegang kepada amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau berkata golongan intelek mungkin boleh menerima perbezaan dalam amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan fahaman Wahabi, namun apa yang membimbangkan perkara tersebut boleh menimbulkan masalah pepecahan kepada masyarakat yang kurang arif khasnya di kawasan kampung-kampung masyarakat Islam yang terpencil.

Antara ajaran fahaman Wahabi ialah tidak mengamalkan bacaan doa qunut pada solat Subuh selain tidak mengadakan tahlil dan tidak berzikir selepas solat seperti amalan biasa umat Islam di negara ini. Semalam Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Masitah Ibrahim berkata Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat di negara ini namun perlu dibendung untuk mengelak berlakunya kekeliruan dalam masyarakat Islam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain