suria

21 ditahan dalam samun jongkong RM3 juta

JOHOR BAHARU: Polis menahan 21 orang yang disyaki terlibat dalam kejadian samun jongkong timah, tembaga dan perak bernilai RM3 juta di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Senai dekat sini hujung bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata kumpulan terdiri dua pemandu lori, seorang orang tengah yang dipercayai menguruskan penjualan, tujuh orang terlibat dalam pembelian barang samun dan 11 pekerja di tempat persembunyian dua jongkong timah, ditahan oleh pasukan khas polis dalam tempoh 48 jam selepas kejadian.

Katanya dalam kejadian 10.30 malam 24 Oktober itu, 15 lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang memasuki kilang tersebut melalui bahagian depan dan belakang sebelum mengikat pengawal keselamatan serta lapan pekerja kilang itu dalam bilik air.

"Penjenayah itu merosakkan kamera litar tertutup dan mengambil rakamannya sebelum mengangkut pelbagai jenis jongkong timah, tembaga dan perak menggunakan sebuah treler dan sebuah lori lima tan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Jalaluddin berkata susulan daripada laporan polis yang dibuat, pasukan khas polis itu menahan 21 individu terbabit yang berumur 25 hingga 50 tahun dan menemui 289 jongkong timah seberat tujuh tan, 12 bongkah timah besar seberat 12 tan, 50 batang timah panjang, wang tunai RM29,000 dan tiga buah lori di tiga kilang kitar semula di Tampoi, Senai dan Kulai.

Polis sedang mengesan beberapa lagi anggota kumpulan terlibat dan meminta syarikat kitar semula menghubungi polis sekiranya didatangi penjual jongkong timah, tembaga dan perak, yang mencurigakan. BERNAMA

Artikel Lain